"Islam is a way of life"
"~ Selamat Datang !!! ~"

Sunday, January 11, 2009

Solat yg Berkualiti


Solat merupakan rukun Islam yang kedua yang diwajibkan ke atas umat Islam. Solat juga merupakan tiang agama. Allah swt berfirman "Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." An-Nisa:103

Dalam menghiasi Ramadhan ini dengan pelbagai aktiviti mencari pahala, telah menjadi amalan umat Islam di negara ini untuk menunaikan solat sunat Terawih secara berjemaah.

Solat sunat Terawih mula didirikan oleh Rasullulah saw ketika Ramadhan. Pada peringkat awal, apabila orang ramai melihat baginda bersolat di masjid, baginda hanya membiarkan sahaja. Apabila seorang dua mengikut, baginda juga membiarkan sahaja. Tetapi di hari-hari berikutnya, apabila semakin ramai yang mengikut, baginda lalu berhenti dan hanya solat berseorangan di rumah selepas itu.

Baginda takut Terawih akan dianggap sebagai satu kemestian, lalu memberatkan sesetangah orang. Rakaat yang baginda laksanakan hanyalah 8. Solat Terawih mula didirikan secara berjemaah bermula dari zaman Khalifah Umar ra. Pada zaman Khalifah Ali ra, solat tersebut telah ditambah sehingga 20 rakaat.

Mengikut apa yang disyorkan oleh kerajaan Malaysia, setiap masjid digalakkan mendirikan solat jemaah sunat Terawih sehingga 20 rakaat.

Sebenarnya tidak menjadi masalah berapa rakaat Terawih itu, asalkan di dalam kemampuan. Walaupun Terawih boleh dilakukan bersendirian, namun solat berjemaah mempunyai kelebihan sebanyak 27 darjat dari solat berseorangan.

Hari ini telah masuk 12 Ramadhan dan 13 kali solat jemaah sunat Terawih dilakukan di seluruh negara. Ada juga budaya "amat buruk" di sesetengah tempat untuk berlumba-lumba dalam mempercepatkan solat sunat terawih. Lagi cepat habis 20 rakaat lagi baik, kalau boleh sebelum pukul 10 malam. Akibatnya solat-solat yang dilakukan tidak berkualiti.

Amalan yang tidak berkualiti belum tentu diterima oleh Allah. Pernahkah terfikir kemungkinan sekiranya kita bersolat sehingga 20 rakaat, terkejar-kejar masa, tetapi Allah tidak menerima satu rakaat pun.

Sabda Rasulullah saw, "Banyak sekali orang mendirikan solat, tetapi tiada bahagian yang diperolehi daripada solatnya melainkan lelah dan payah semata-mata" Riwayat Nasai dan Ibnu Majah.

Solat merupakan satu-satunya medium untuk kita berkomunikasi dengan tuhan yang dicintai. Kenapa perlu tergesa-gesa meninggalkan kekasih hati? Ke manakah yang lebih penting dari berhadapan dengan tuhan pencipta?

Ramadhan merupakan rahmat dari Allah. Manusia yang bijak akan menggunakan Ramadhan sebagai bulan untuk menyucikan diri dengan mendekatkan diri dengan Allah. Dan sedekat-dekat seseorang itu dengan tuhannya adalah ketika di dalam sujud. Ini merupakan saat emas yang patut dimanfaatkan oleh orang yang bersolat. Sujud yang berkualiti merupakan salah satu elemen dalam melahirkan solat yang berkualiti.

Solat-solat yang berkualiti dapat mencegah seseorang daripada kejahatan. Ia akan terjadi secara 'automatik' pada diri seseorang apabila seseorang itu mula berjaya mendirikan solat yang berkualiti.

Sabda Rasulullah saw, "Barangsiapa yang solatnya itu tidak dapat mencegahnya daripada kejahatan serta kemungkaran, maka tidaklah bertambah dari Allah melainkan hanya menjauhkan sahaja" Riwayat Thabrani.

"melainkan hanya menjauhkan sahaja" di sini sering terjadi apabila kita mula merasa bosan, fikiran terawang-terawang, mengejar rakaat. Lalu solat kita menjadi solat yang tidak berkualiti dan keadaan diri kita semakin jauh dari Allah.

Sebaliknya solat yang berkualiti , seperti yang saya katakan tadi, akan menyebabkan perubahan sikap individu itu terjadi secara sendirinya tanpa dirancang. Jiwa dan dirinya dengan sendiri menjauhi kejahatan.

Hadith ini boleh menjadi panduan untuk mengaudit solat kita.

Ramai yang ingin menghayati solat, ingin khusyuk ketika solat, ingin bercakap-cakap dengan tuhan ketika dalam solat, ingin memohon keampunan di dalam solat, tetapi ramai yang tidak tahu caranya.

Dalam menghayati solat dan menghasilkan solat yang berkualiti, Al-Ghazali ada menggariskan beberapa langkah-langkah yang perlu diterapkan di dalam diri ketika solat.

Kehadiran hati itu penting. Hati perlu dikosongkan dari semua perkara yang tidak ada hubung kait dengan solat itu.

Memahami maksud ucapan atau bacaan di dalam solat. Ini termasuk surah-surah, bacaan rukuk, sujud dan semuanya sehingga selesai solat.

Merasa kebesaran tuhan dengan bacaan-bacaan dan ucapan-ucapan itu. Dalam erti kata moden, menjiwai apa yang diucapkan.

Berasa takut kepada Allah. Sujud dan rukuk berserta rasa memohon ampun di hati ke atas kesalahan diri. Ingatlah Allah yang memusnahkan umat terdahulu, menggerakkan jantung kita, dan Dia boleh menghentikan bila-bila masa sahaja.

Mengharap kurnia Allah ke atas solat yang dikerjakan.

Malu dengan Allah, kalau-kalau solat masih kurang sempurna. Malu atas semua kecelaan diri.
Rasulullah saw sendiri ada mengariskan panduan ringkas dalam menghasilkan solat yang berkualiti.

Hadis Abu Hurairah r.a: Ketika Rasulullah s.a.w memasuki masjid, seorang lelaki juga memasukinya lalu mendirikan sembahyang. Setelah selesai, dia datang memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. Baginda menjawab salamnya lalu bersabda: Sembahyanglah sekali lagi kerana sembahyang yang kamu lakukan tadi tidak sah. Lelaki tersebut kembali mendirikan sembahyang sebagaimana yang telah dilakukannya kemudian kembali menemui Rasulullah s.a.w dengan memberi salam kepada baginda. Lantas baginda menjawab salam lalu bersabda: Sembahyanglah sekali lagi kerana sembahyang yang kamu lakukan tadi tidak sah. Perkara ini berlaku sebanyak tiga kali sehingga akhirnya lelaki tersebut berkata: Oleh kerana engkau dibangkitkan untuk menyatakan kebenaran, bagaimanakah sebenarnya sembahyang dilakukan? Ajarkanlah padaku. Lalu baginda bersabda: Apabila kamu ingin mendirikan sembahyang, mulakanlah dengan bertakbir kemudian bacalah ayat atau surah yang paling senang bagi kamu. Seterusnya rukuklah sehingga kamu betul-betul berada dalam keadaan tersebut dan bangkitlah berdiri. Setelah itu sujudlah sehingga kamu betul-betul berada dalam keadaan tersebut dan bangkitlah untuk berada dalam keadaan duduk antara dua sujud. Itulah cara yang perlu kamu lakukan sehingga selesai sembahyang. Sahih Muslim.

Sehingga kamu betul-betul berada dalam keadaan tersebut, juga bermaksud sehingga hati menjadi tenang (mengikut riwayat Bukhari). Ini menunjukkan teknik solat yang diajar oleh Rasulullah saw dihiasi dengan ketenangan, pengharapan dan tidak tergesa-gesa.

Marilah sama-sama kita mendirikan solat yang berkualiti.

0 comments:

ManggaOnline

Related Posts with Thumbnails

Jom Followers

Majlis Agama Islam Negeri

MAIWP (Wilayah Persekutuan) MAIS (Selangor) MAINS (Negeri Sembilan) MAIPP (Pulau Pinang) MAIK (Kedah) MAIDAM (Terengganu) MAIJ (Johor) MAIM (Melaka) MAIK (Kelantan) MUIP (Pahang) MAIAMP (Perak) Baitulmal Perlis Baitulmal Sabah Baitulmal Sarawak
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes