"Islam is a way of life"
"~ Selamat Datang !!! ~"

Saturday, April 10, 2010

Tuan Guru Haji Salleh Musa, pengasas pondok Madrasah Ar-Rahmaniah Sik Kedah



Tuan Guru Haji Salleh Musa, seorang tokoh pendakwah dan tokoh agama yang sangat disegani di Negeri Kedah. Beliau yang telah banyak menyumbang jasa dalam sektor pengajian agama di negeri Kedah merupakan anak jati Sik, Kedah. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sik yang mana merupakan sekolah yang sama dengan tokoh penulisan tempatan, Dato’ Shahnon Ahmad.

Pemilik dan pengasas kepada sebuah pondok agama terkemuka di Sik Kedah iaitu Madrasah Ar-Rahmaniah atau juga dikenali sebagai Pondok Tok Guru Haji Salleh, Sik pernah mengikuti sesi pengajian agama di Pondok Tuan Hussein, Pulau Pinang selama sebulan sebelum Malaysia (ketika dulu Tanah Melayu) ditakluk di bawah jajahan Jepun. Semasa tempoh penjajahan, Tuan Guru Haji Salleh tidak mengikuti mana-mana pengajian selama hampir 3 tahun 8 bulan. Setelah tamat penjajahan Jepun ke atas Malaysia, Tuan Guru terus menyambung pengajian dalam bidang pendidikan agama di Gajah Mati, Pendang.


Bapa beliau yang pada ketika itu merasakan sudah tiba masanya untuk Tuan Guru melanjutkan pengajian ke Mekkah memberi dorongan dan rangsangan untuk beliau melanjutkan pengajian ke Negara Timur Tengah itu. Berkat doa dari bapa beliau, Tuan Guru Haji Salleh telah menyambung pengajiannya ke Mekkah ketika beliau berusia lingkungan 25 tahun. Perjalanan ke Mekkah pada ketika itu yang menggunakan kapal laut telah memakan masa selama 16 hari untuk tiba di sana. Beliau mengabdikan diri menuntut ilmu di bumi bertuah Mekkah selama 15 tahun. Beliau telah mengikuti kuliahnya yang pertama di Makkah iaitu di Madrasah Darul Ulum Ad-Diniah selama 6 tahun sehingga beliau mendapat sijil yang tertinggi dari Madrasah tersebut.

Setelah tamat pengajian di Madrasah Darul Ulum Ad-Diniah, beliau seterusnya mendalami ilmu agama dari tokoh pengajian Arab yang terkemuka di Masjidil Haram seperti Al-Alim Alamah Sheikh Muhammad Yassin Al-Fadani. Pelbagai pengalaman yang telah beliau tempuhi sepanjang berada di Mekkah antaranya terpaksa bersusah payah dan bertungkus lumus untuk mempelajari Bahasa Arab yang menjadi pertuturan harian beliau ketika di sana.



Banyak halangan juga telah beliau tempuhi semasa membuka Madrasah Ar-Rahmaniah antaranya tohmahan dari orang kampung berhubung hasrat beliau untuk mengembangkan pengajian Islam menerusi kuliah yang beliau sampaikan di madrasah tersebut. Berkat kesabaran dan keikhlasan beliau untuk menyampaikan ajaran agama kepada seluruh masyarakat Kedah, akhirnya Madrasah Ar-Rahmaniah, Sik ini berjaya ditubuhkan dan kini telah menerima kemasukan pelajar dari seluruh Malaysia antaranya dari Kelantan, Pahang dan Perak.

Bapa kepada 11 orang anak ini telah dipilih oleh Kerajaan Negeri Kedah untuk menerima Anugerah Tokoh Pendakwah bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul 1430H/2009M di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) baru-baru ini. Selain itu, beliau juga pernah menerima darjah kebesaran daripada KDYMM Tuanku Sultan Kedah antaranya Bintang Kebaktian Masyarakat (B.K.M) dan pingat Setia Diraja Kedah (S.D.K).



Beliau yang sangat mengagumi pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah yang baru di bawah naungan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mengucapkan jutaan tahniah kepada pihak pentadbiran kerana berjaya memacu negeri Kedah ke arah kehidupan yang lebih sejahtera disamping menyeimbangkan antara kehidupan dunia dan akhirat.

Akhir sekali, beliau mengucapkan selamat menyambut Awal Muharam kepada seluruh pembaca dan semoga tahun baru ini, kita penuhi dengan amalan-amalan kebaikan yang bakal membawa kita ke jalan kebenaran.

0 comments:

ManggaOnline

Related Posts with Thumbnails

Jom Followers

Majlis Agama Islam Negeri

MAIWP (Wilayah Persekutuan) MAIS (Selangor) MAINS (Negeri Sembilan) MAIPP (Pulau Pinang) MAIK (Kedah) MAIDAM (Terengganu) MAIJ (Johor) MAIM (Melaka) MAIK (Kelantan) MUIP (Pahang) MAIAMP (Perak) Baitulmal Perlis Baitulmal Sabah Baitulmal Sarawak
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes